Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 2026 Sahabat Hospital Selangor Unit Klang telah berjaya dilaksanakan dengan lancar dan penuh tertib pada jam 9.00 pagi bertempat di Pejabat Utama Sahabat Hospital Klang, Kabin At Taqwa, Lengkuk Seri Siantan 51, Taman Sri Andalas. Mesyuarat ini menghimpunkan barisan Ahli Jawatankuasa, ahli-ahli berdaftar serta wakil Sahabat Hospital bagi menilai pencapaian dan hala tuju organisasi secara kolektif.
Mesyuarat dimulakan dengan sesi pendaftaran dan sarapan pagi, diikuti ucapan aluan oleh Pengerusi Majlis. Majlis diteruskan dengan bacaan doa, ucapan Pengerusi serta ucapan perasmian sebagai pembuka tirai kepada Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-8 Unit Klang.
Agenda utama mesyuarat merangkumi pembentangan dan pengesahan minit Mesyuarat Agung Tahunan sebelumnya, pembentangan serta penerimaan Laporan Kewangan berakhir 31 Disember 2025, selain sesi perbahasan usul dan cadangan daripada ahli. Perbincangan berlangsung secara konstruktif, mencerminkan kematangan organisasi dan komitmen ahli terhadap tadbir urus yang telus serta berakauntabiliti.
MAT 2026 turut menyaksikan pembubaran Jawatankuasa Sesi 2025 dan pemilihan Jawatankuasa baharu bagi Sesi 2026/2027, termasuk pelantikan wakil ke Mesyuarat Agung Tahunan Induk serta Juruaudit Dalaman. Proses pemilihan dilaksanakan secara teratur dan berintegriti, selari dengan perlembagaan pertubuhan.
Secara keseluruhan, MAT 2026 Unit Klang menjadi platform strategik memperkukuh kesepaduan ahli, menyelaras hala tuju masa hadapan serta menzahirkan iltizam berterusan Sahabat Hospital Klang dalam menyokong kebajikan hospital dan komuniti setempat secara mampan.


