Liputan Mesyuarat Agung Tahunan 2026

Image

UCAPAN ALUAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

SAHABAT HOSPITAL SELANGOR 18 APRIL 2026 KABIN TAQWA, SRI ANDALAS, KLANG

Image
Image
Image
Image
Image

 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat berhimpun pada hari ini dalam Mesyuarat Agung Tahunan Sahabat Hospital Selangor bagi tahun 2026.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta mereka yang istiqamah meneruskan perjuangan dakwah hingga ke hari ini.

Yang dihormati barisan kepimpinan Sahabat Hospital Selangor, para pewakilan Sahabat Hospital daerah, serta hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian,

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pewakilan dari seluruh daerah yang hadir pada hari ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, tetapi mencerminkan komitmen yang tinggi terhadap amanah dakwah dan kebajikan yang kita pikul bersama.

Pada kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Sahabat Hospital daerah yang telah berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan di peringkat masing-masing. Ini menunjukkan kesungguhan dan keaktifan dalam menggerakkan organisasi di peringkat akar umbi.

Manakala bagi daerah yang masih belum berkesempatan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, saya menyeru agar kita bersama-sama berganding bahu membantu dan mengaktifkan semula gerak kerja di peringkat daerah. InsyaAllah, dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, kita mampu memastikan setiap daerah bergerak seiring dan sehala dalam mencapai matlamat organisasi.

Hadirin yang dikasihi,

Mesyuarat Agung Tahunan ini amat penting sebagai platform untuk kita bermuhasabah, menilai pencapaian lalu, memperbaiki kelemahan serta merancang hala tuju yang lebih tersusun dan berkesan. Di sinilah kita memperkukuh kesatuan, menyelaraskan gerak kerja, dan memastikan bahawa setiap langkah yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada ummah.

Seiring dengan itu, tema Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun ini iaitu “Membugar Dakwah, Menyebar Rahmah” amat bertepatan dengan peranan kita sebagai pendakwah di lapangan hospital. Dakwah yang segar, berstrategi dan penuh hikmah perlu digerakkan agar rahmah Islam dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, khususnya para pesakit dan ahli keluarga mereka.

Hadirin yang dihormati,

Hala tuju Sahabat Hospital Selangor pada masa kini adalah untuk memperkukuh organisasi agar lebih bersedia mendepani cabaran dakwah masa kini yang semakin kompleks. Kita berdepan dengan beberapa cabaran utama, antaranya pembangunan sumber manusia yang berkualiti, keperluan pendanaan yang mampan, serta pelaksanaan aktiviti dakwah yang benar-benar berkesan dan menyentuh hati.

Dalam menghadapi cabaran ini, pelbagai langkah telah dan sedang diambil. Antaranya ialah agenda pendigitalan organisasi melalui pembangunan laman web yang lebih interaktif bagi memperluas capaian maklumat dan penyertaan masyarakat. Selain itu, kempen pendanaan juga giat dijalankan bagi memastikan kelangsungan aktiviti Sahabat Hospital Selangor dapat diteruskan dengan lebih terancang.

Di samping itu, pendekatan dakwah secara maya turut diperkasakan melalui program seperti tadarus dan tadabbur al-Quran secara dalam talian, agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai pihak tanpa batasan tempat dan masa.

Tidak dilupakan juga aktiviti khidmat bantu yang menjadi teras perjuangan kita, seperti penyediaan pinjaman atau pemberian peralatan kepada pesakit termasuk katil wakaf, kerusi roda (wheelchair) dan lain-lain keperluan yang meringankan beban mereka. Ini adalah manifestasi kasih sayang dan kepedulian kita terhadap golongan yang memerlukan.

Hadirin sekalian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua yang hadir. Semoga Aidilfitri yang disambut membawa keberkatan, mengeratkan silaturrahim dan menyucikan hati kita dalam meneruskan amanah dakwah ini.

Akhir kata, saya berharap mesyuarat pada hari ini dapat berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang telah ditetapkan. Semoga setiap perbincangan dan keputusan yang diambil diberkati Allah SWT.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Oleh YDP Sahabat Hospital Selangor
Ustaz Mohd Makhi Bin Adnan

Ucapan Perasmian MAT 2026

Oleh : Dato' Setia Mohamad Adzib Bin Mohd Isa

Image
Image
Image
Image

Video Majlis Perasmian & Peluncuran Buku & Lagu SHS

ebuku

Manual ini disediakan sebagai panduan rasmi kepada semua sukarelawan Sahabat Hospital Selangor dalam melaksanakan gerak kerja dakwah secara tersusun, berkesan dan beradab dalam suasana di hospital dan luar hospital.

Dakwah di hospital dan luar hospital bukan sekadar menyampaikan nasihat, tetapi melibatkan sentuhan kasih sayang, empati, kebajikan serta pendekatan hikmah kepada pesakit, keluarga, asnaf dan masyarakat pelbagai latar belakang

Susasana Jamuan Hari Raya @MAT 2026

Makanan Ditaja Oleh Unit-unit Sahabat Hospital Daerah

Image
Image
Image
Image
Copyright © SAHABAT HOSPITAL SELANGOR 2026. All Rights Reserved.

SHS LOGO WHITE11