Sepang, 14 Mac 2026 – Program Iftar Inspirasi Perpaduan Perdana 2026 telah berlangsung dengan penuh meriah dan harmoni di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor melalui Bahagian Dakwah dengan kerjasama pelbagai pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO) di bawah Kluster Islah dan Dakwah.
Majlis telah dirasmikan oleh Tan Sri Hashim bin Meon, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Majlis Agama Islam Selangor, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan kerjasama strategik antara agensi agama dan NGO dalam memperkukuh usaha dakwah serta memupuk perpaduan dalam masyarakat majmuk.
Program ini menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk NGO Islam, golongan asnaf dalam kalangan mualaf dan fakir miskin, serta turut dihadiri oleh masyarakat bukan Muslim sebagai usaha memperkenalkan keindahan Islam dan memperkukuh keharmonian antara masyarakat.
Pertubuhan Sahabat Hospital Selangor turut mengambil bahagian dengan menghantar seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada ahli Sahabat Hospital Sabak Bernam, Sahabat Hospital Serdang & Kajang serta Sahabat Hospital Kuala Langat.
Program dimulakan dengan majlis khatam al-Quran yang diikuti dengan sesi tadabbur Surah Al-Insyirah yang disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Iqbal. Dalam perkongsiannya, beliau menegaskan bahawa setiap kesukaran yang dihadapi oleh manusia pasti disertai dengan kemudahan, sebagaimana mesej utama Surah Al-Insyirah yang mengingatkan para pendakwah agar terus bersabar dan istiqamah dalam menyampaikan dakwah.
Selain itu, para peserta turut mengikuti pengisian dakwah yang disampaikan oleh ustaz Fitri Abdullah daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) yang berkongsi pengalaman dalam mendekati masyarakat majmuk serta membimbing saudara baharu memahami Islam dengan pendekatan hikmah, kasih sayang dan kebijaksanaan.
Program ini bukan sahaja menjadi medan memperkukuh ukhuwah antara NGO Islam, malah turut berperanan sebagai platform memperkenalkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat, perpaduan dan nilai kemanusiaan sejagat.
Majlis diakhiri dengan iftar berjemaah, sekali gus mengeratkan hubungan antara agensi agama, NGO dakwah serta masyarakat dalam usaha memperluaskan kerja-kerja dakwah dan kebajikan di negeri Selangor.


