Ampang, 25 Januari 2025 – Sahabat Hospital cawangan Ampang telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan bertempat di Pusat NADI, Pinggiran Delima, petang tadi.
Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Sahabat Hospital Selangor (SHS), Ustaz Mohd Makhi bin Adnan. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Haji Mahmud, Pengerusi Sahabat Hospital Serdang serta Ustazah Nurul Yakin binti Supeni, Pengerusi Sahabat Hospital Sabak Bernam merangkap Penolong Setiausaha SHS.
Dalam ucapan perasmian, Yang Dipertua SHS telah memaklumkan kepada para hadirin mengenai perkembangan terkini Sahabat Hospital Selangor, khususnya berkaitan kelulusan pindaan perlembagaan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Beliau turut menggariskan hala tuju SHS ke arah pendigitalan pengurusan bagi memperkukuh kecekapan organisasi dan keberkesanan gerak kerja sukarelawan.
Selain itu, Yang Dipertua SHS turut menekankan kepentingan niat dan tujuan penglibatan dalam organisasi sebagai satu amal jariah yang berterusan, selaras dengan nilai-nilai dakwah dan kebajikan yang menjadi teras Sahabat Hospital.
Majlis diakhiri dengan ucapan tahniah daripada Yang Dipertua SHS kepada Jawatankuasa Sahabat Hospital cawangan Ampang atas kejayaan menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan dengan lancar dan teratur.
![]() |
![]() |
![]() |





