Sahabat Hospital Selangor (SHS) telah menyertai Program Strategi Dakwah anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang berlangsung pada 12 hingga 13 Ogos 2026 bertempat di Hotel De Palma, Shah Alam. Program ini mengangkat tajuk “Seni Pembuktian Kebenaran Islam Dengan Hikmah”, dengan pengisian yang memberi penekanan kepada pendekatan dakwah yang berhikmah, berilmu, santun dan praktikal dalam menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat, khususnya golongan bukan Islam.
Program ini dikendalikan oleh Tuan Haji Noli Husain daripada Hidayah Centre Foundation yang berpengalaman dalam bidang dakwah dan pendekatan kepada masyarakat bukan Muslim. Perkongsian beliau memberikan peserta kefahaman yang lebih tersusun tentang asas pembuktian kebenaran Islam, kaedah berkomunikasi secara berhemah serta strategi mendekati mad’u tanpa menimbulkan rasa tertekan atau prejudis. Peserta turut didedahkan kepada cara menjawab persoalan berkaitan Islam secara tenang, rasional dan menghormati latar belakang serta kepercayaan individu yang ditemui.
Pada hari pertama, peserta mengikuti sesi ceramah dan latihan dalam kumpulan. Sesi tersebut bukan sahaja membincangkan aspek teori, malah memberi ruang kepada peserta untuk melakukan simulasi, membina skrip perbualan dan memahami teknik membuka ruang komunikasi dengan mad’u secara mesra. Pendekatan ASARA-PK turut menekankan kepentingan membina hubungan, menggunakan sumber yang sahih serta menyampaikan hujah berdasarkan al-Quran, hadis, akal dan pemerhatian.
Hari berikutnya diteruskan dengan sesi ceramah serta praktikal dakwah kepada non-Muslim di lapangan, khususnya di sekitar Shah Alam. Peserta berpeluang mempraktikkan kemahiran yang dipelajari dengan menjalankan sesi survey dan perbualan secara bersemuka.
Hasilnya amat menggalakkan apabila usaha survey mendapat sambutan dan kerjasama yang baik daripada masyarakat bukan Islam. Lebih bermakna, seorang individu telah diberikan hidayah untuk mengucapkan dua kalimah syahadah. Peristiwa tersebut menjadi satu detik yang sangat bermakna kepada para peserta dan membuktikan bahawa pendekatan dakwah yang dilakukan dengan hikmah, ilmu dan kasih sayang mampu membuka ruang kepada penerimaan Islam.
Program ini turut menjadi medan memperkasa kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan dalam kalangan peserta. Penyertaan SHS dalam program ini diharapkan dapat memperkukuh kompetensi sukarelawan dalam kerja dakwah serta membina jaringan kerjasama strategik bersama JAIS dan organisasi dakwah lain demi memperluas usaha menyantuni masyarakat dengan pendekatan yang profesional, inklusif dan berhikmah.
Program berakhir pada jam 5.00 petang di Dewan Seminar, Masjid Negeri Shah Alam.

